KUALA LUMPUR, 4 September- Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) menyambut baik pengumuman tambahan 500 kuota penyertaan belia India dalam Program Malaysia-China Youth TVET Training (MCYTT)–MITRA 2025.
Pengerusinya, P. Prabakaran berkata, langkah itu membuktikan keprihatinan kerajaan memperkukuh agenda TVET, selaras inisiatif Majlis TVET Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Pengumuman tambahan 500 tempat tahun ini sangat mengejutkan tetapi amat dialu-alukan. Kami komited memberi sokongan dana supaya peluang ini sampai kepada belia India, khususnya daripada golongan B40,” katanya.
Sehingga kini, 175 peserta telah menamatkan latihan, manakala 147 peserta dijadual berangkat ke China bulan ini dan 178 lagi pada Oktober serta November.
Prabakaran yang juga Ahli Parlimen Batu menegaskan, peluang itu bukan sekadar menyediakan laluan pendidikan, tetapi juga transformasi sosial dan ekonomi yang nyata untuk meningkatkan taraf hidup belia India.
Beliau berkata, permintaan penyertaan amat tinggi, justeru proses pemilihan akan dilakukan secara teliti bagi memastikan hanya peserta berkualiti terpilih.
Katanya lagi, menerusi kerjasama dengan Belia Mahir, peserta yang pulang dari China akan ditempatkan di syarikat tempatan mengikut bidang masing-masing bagi mendapatkan pengalaman praktikal.
“Bukan sekadar belajar di China dan balik tanpa hala tuju.
Belia Mahir sediakan platform untuk penempatan praktikal mengikut skop kemahiran mereka,” jelasnya.
Prabakaran menambah, inisiatif itu akan melahirkan belia India lebih kompetitif serta menyumbang terus kepada pasaran pekerjaan, seiring aspirasi kerajaan membangunkan ekosistem TVET negara.