KUALA LUMPUR, 27 September – Sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini menghampiri zon kuning di perairan Gaza dijangka berdepan ancaman lebih agresif oleh rejim Zionis.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, tindakan itu dipercayai bertujuan menggagalkan misi kemanusiaan berkenaan.
“Kita ada dengar tentera Israel akan mengambil tindakan terhadap sukarelawan Global Sumud Flotilla. Itu yang disebut.
“Namun, apabila saya bercakap dengan Datuk Profesor Dr Sani Al-Arabi, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengerusi MAPIM, beliau memaklumkan maklumat itu belum jelas dan kemungkinan besar ia hanyalah propaganda Israel untuk menakutkan.
“Setakat ini, belum ada maklumat rasmi atau pengesahan daripada Israel sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Sejahtera Keluarga MADANI Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Santuni Komuniti Cacat Penglihatan 2025 di ibu negara, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, sebarang kemungkinan tetap perlu diambil kira dan kerajaan Malaysia bersama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) digesa mengetengahkan naratif yang lebih jelas berpandukan objektif misi kemanusiaan GSF, sebagai persediaan berdepan propaganda pihak Zionis.