fb fb fb fb fb

BUDI95: Hari pertama berjalan lancar, RM2.6 juta pembelian direkodkan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 September - Sebanyak RM2.6 juta pembelian telah direkodkan untuk 1.3 juta liter petrol RON95 dengan harga bersubsidi RM1.99 seliter pada hari pertama pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) di stesen minyak di seluruh negara, setakat pukul 9.00 malam tadi.

Kementerian Kewangan memaklumkan, pelaksanaan BUDI95 yang dibuka terlebih dahulu khusus untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjalan lancar dengan hampir 20 peratus daripada keseluruhan 300,000 anggota menjalankan transaksi BUDI95.

"Berdasarkan laporan di lapangan, urusan BUDI95 berjalan lancar dengan sistem BUDI95 stabil dan pembacaan MyKad melalui terminal di stesen minyak beroperasi dengan baik.

"Kementerian Kewangan merakamkan penghargaan kepada semua anggota ATM dan PDRM yang menjadi kumpulan terawal memanfaatkan BUDI95," katanya menerusi satu kenyataan.

Bermula esok, sistem BUDI95 akan diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kategori B40, sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada 30 September ini untuk 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.

Sejak portal BUDI95 dilancarkan pada 25 September 2025, seramai 8.1 juta pengguna telah membuat semakan kelayakan untuk memanfaatkan subsidi RON95.

Orang ramai boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi BUDI95 di www.budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595 untuk maklumat lanjut.

ROSLINA BINTI DIN