LABUAN, 27 September – Borneo Arts Festival (BAF) 2025 yang dianjurkan Jabatan Wilayah Persekutuan, Perbadanan Labuan dan Perbadanan Putrajaya bakal menampilkan pembaharuan dalam penganjurannya dengan tema “Warisan Seni Borneo”.
Sejak diperkenalkan pada 2010, BAF berjaya mengangkat martabat keunikan seni dan budaya Borneo, sekali gus menarik minat penggiat seni persembahan pentas serta seni visual dari segenap kepulauan rantau ini.
Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Mohd Husni Mohamad Salleh berkata evolusi penganjuran festival saban tahun menjadikan ia sebagai acara ikonik yang disenaraikan di bawah kluster pembangunan pelancongan Brunei-Indonesia-Malaysia-Philippines East Asean Growth Area (BIMP-EAGA).
Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Mohd Husni Mohamad Salleh/Foto Bernama
“Kita perlu tampilkan sedikit kelainan setiap tahun berbanding sebelumnya. Dari segi promosi dan pemasaran, kita akan ketengahkan sesuatu yang baharu serta menambah elemen inovasi agar mampu menjadi tarikan kepada festival ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pra pelancaran Borneo Arts Festival 2025, di sini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib berkata tiga acara utama festival iaitu persembahan tarian, muzik etnik dan pelbagai acara seni akan dikekalkan.
Namun, katanya, edisi kali ini turut memperkenalkan beberapa pengisian baharu termasuk Laman Etnik, Taman Pesona Warisan Borneo dan Secret Garden.
“Ini antara kelainan yang dibawa di luar bangunan, seiring dengan penganjuran Borneo Flora Festival sebelum ini. Taman bertema yang diperkenalkan akan memberi peluang kepada pengunjung menikmati pertandingan serta paparan kepelbagaian suku etnik dan budaya semasa Borneo Arts Festival nanti,” jelasnya.
BAF edisi ke-12 dijadual berlangsung dari 13 hingga 17 November ini di Taman Awam Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.