KUALA LUMPUR, 28 September- Malam Kemuncak Bintang Klasik 2025 di Auditorium Sri Angkasa disifatkan sebagai penganjuran bertaraf tinggi dengan mutu persembahan dan produksi yang mengagumkan.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, pertandingan itu bukan sekadar medan hiburan, malah berjaya menampilkan persembahan berkualiti.
“Bukan sahaja peserta yang menunjukkan kualiti tinggi, malah suasana malam ini memberi satu vibe yang sangat positif. Ia diserikan dengan kemunculan artis popular tanah air seperti Liza Aziz dan Ramlah Ram.
Para tetamu juga jelas terhibur, apatah lagi dengan sokongan padu peminat setia Radio Klasik yang hadir beramai-ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Malam Kemuncak Bintang Klasik 2025 di sini, malam tadi.
Datuk Suhaimi turut memuji aspek teknikal termasuk sudut kamera dan keseluruhan produksi yang disifatkan kemas serta menarik.
Mengenai penganjuran akan datang, beliau menegaskan standard tinggi yang ditetapkan pada edisi kali ini perlu dijadikan penanda aras.
“Penerbit pada edisi seterusnya perlu bekerja lebih keras kerana tahap yang ditunjukkan malam ini sangat tinggi dan perlu ditandingi dengan pencapaian lebih baik,” jelasnya.