fb fb fb fb fb

Misi bantuan banjir LZNK ke Kelantan dan Terengganu berjalan lancar

(FOTO LZNK)

KOTA BHARU, 28 Disember- Misi Bantuan Banjir Lembaga Zakat Negeri Kedah, LZNK ke Kelantan dan Terengganu berjalan lancar.

24,000 kampit beras lima kilogram bernilai RM300,000 telah diserahkan kepada pihak berwajib untuk diagihkan kepada penduduk terjejas banjir di kedua-dua negeri berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman dalam kenyataan berkata, hari ini, 8,000 kampit beras dan 57 dozen kicap dan sos diletakkan di Masjid Sultan Ismail Petra, Rantau Panjang.

Manakala 4,000 kampit beras dan 60 dozen kicap dan sos diletakkan di Masjid Sultan Muhammad III, Pasir Mas.

“Yang Mulia Tengku Tan Sri Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz (Tengku Temenggong Kelantan) selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan perkenan menerima simbolik penyerahan tersebut di Kota Bharu tadi.

“Semoga Allah menggantikan dengan yang lebih baik buat semua mangsa terlibat dan permudahkan urusan mereka. Selesai sudah misi LZNK kali ini. Doakan kepulangan kami selamat sampai ke negeri Kedah," katanya.

Terdahulu, 12,000 kampit beras seberat 60,000 kilogram diserahkan kepada negeri Terengganu melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).


(FOTO LZNK)

Media Baharu