fb fb fb fb fb

LHDN dan JKDM perlu lebih kreatif tambah hasil cukai perangi ekonomi gelap

(Datuk Seri Ahmad Maslan beramah mesra dengan pelanggan
di LHDN Kuala Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 28 Disember- Dua agensi pengutip cukai utama negara perlu lebih kreatif menambah hasil cukai sekali gus mengurangkan keadaan ekonomi gelap.

Antara yang boleh dilaksanakan Lembaga Hasil Dalam Negeri, LHDN dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia adalah menguatkuasakan peraturan sedia ada.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata dianggarkan ekonomi gelap merangkumi 30% daripada RM1.3 trillion hasil keluaran dalam negara kasar negara, KDNK.

Ini termasuk barangan dan perkhidmatan yang tidak diisytihar cukai, hasil rasuah, perjudian tidak sah dan perdagangan haram.

“Apabila saya sebut 30% daripada KDNK adalah ekonomi gelap, mereka (LHDN dan JKDM) perlu memikirkan secara kreatif bagaimana mahu mengurangkan ekonomi gelap itu. Ekonomi gelap ini contohnya orang yang lari daripada cukai, orang yang tipu cukai dan tidak bayar (jumlah) cukai sebenar.

“Jika atas usaha-usaha kreatif itu ekonomi gelap boleh diturunkan daripada 30% kepada 10%, maka hasil yang diperoleh bertambah berpuluh-puluh bilion, tanpa perlu diadakan cukai baharu,” katanya.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke LHDN Kuala Terengganu.

Mengulas mengenai pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan, GST beliau berkata, ketika ini, perkara tersebut belum diputuskan dalam mana-mana mesyuarat.


(Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan ditemui pemberita
selepas mengadakan lawatan ke LHDN Kuala Terengganu)

Media Baharu