fb fb fb fb fb

Mini Zoo Kuala Krai kembali beroperasi selepas 17 tahun

KUALA KRAI, 28 Julai- Setelah 17 tahun, pembukaan semula Mini Zoo Kuala Krai, Kelantan pasti dapat mengimbau kembali memori dan nostalgia penduduk negeri itu.

Menurut Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, pengoperasian satu-satunya zoo di negeri Kelantan itu dapat meningkatkan lagi aktiviti pelancongan khususnya di jajahan Kuala Krai.

Pembangunan berkonsepkan ‘symbiotic pith’ iaitu Manusia dan Alam itu menelan kos sebanyak RM2.5 juta dan menempatkan lebih 50 spesis haiwan termasuk unta, kerbau albino, burung kakak tua dan iguana.

“Kita harap zoo ini akan main peranan penting untuk anak-anak kita, untuk rakyat tempatan menjadi lokasi pelancongan terbaik dan kita harap semua pengunjung tidak mengancam keselamatan binatang-binatang yang ada dan jaga kebersihan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perasmian Mini Zoo Kuala Krai dan Program Jjupo Mata Bersama Rakyat Jajahan Kuala Krai.

Mengulas lanjut, Datuk Ahmad berkata, selain menggalakkan pelancongan domestik, pembinaan mini zoo itu juga mampu dijadikan pusat konservasi hidupan liar selain perkembangan ekonomi setempat.

Mini Zoo Kuala Krai telah beroperasi selama berpuluh-puluh tahun sebelum ditutup dan diganti dengan Taman Burung pada tahun 2005 sebelum ditutup sepenuhnya pada tahun 2011 ekoran kos perbelanjaan makanan haiwan yang tinggi.


(Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (kiri) ketika Majlis Perasmian Mini Zoo Kuala Krai
dan Program Jjupo Mata Bersama Rakyat Jajahan Kuala Krai)

Media Baharu