PUTRAJAYA, 11 Ogos - Kementerian Pertahanan (Mindef) mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung keputusan Jemaah Menteri tentang isu perolehan kapal tempur pesisir (LCS).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau dan Mindef akan melakukan apa sahaja bagi memastikan isu tersebut dapat diselesaikan, serta memberikan kerjasama penuh kepada semua badan berkuasa yang melakukan siasatan.
Katanya, segala perkara yang perlu, sedia dilaksana bagi memastikan siasatan dapat diselesaikan.

MINDEF katanya turut memberi jaminan, keputusan Kabinet tidak akan mengganggu proses perolehan kapal.
“Sebaliknya, hanya mahukan perkara ini dapat diselesaikan dan diteruskan demi kepentingan TLDM, demi wang awam yang dibelanjakan serta kepentingan negara,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah Hishamuddin, selari dengan keputusan jemaah menteri, beliau menegaskan pihak terlibat dalam salah laku harus dibawa ke muka pengadilan.