fb fb fb fb fb

Jalan baharu hubungkan Meluan ke Kuching dalam 2 jam setengah

Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika Majlis Perasmian Jambatan Nanga Lasi

JULAU, 9 Ogos – Penduduk Meluan di Julau bakal menikmati kemudahan jalan baharu sepanjang kira-kira enam kilometer yang akan menghubungkan kawasan Ulu Entabai dan Ulu Entaih dengan Ulu Penebak, Layar di Betong, sekali gus memendekkan masa perjalanan ke Kuching kepada hanya dua jam setengah.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, apabila siap kelak laluan itu akan mengubah landskap akses pedalaman yang selama ini dianggap jauh, selain membuka peluang pemasaran produk pertanian ke ibu negeri.

“Dengan adanya jalan ini, penduduk rumah panjang di Meluan boleh pergi ke Kuching dan balik pada hari yang sama. Ini juga akan memudahkan mereka memasarkan hasil pertanian ke pasaran lebih luas,” katanya ketika merasmikan Jambatan Nanga Lasi di Julau, hari ini.

Beliau menjangkakan kos pembinaan projek itu mencecah puluhan juta ringgit, berdasarkan cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin.

Rolland berkata, laluan tersebut akan memberi manfaat kepada kira-kira 2,500 penduduk rumah panjang, selain tiga sekolah rendah dan sebuah klinik di kawasan terbabit.

Menurutnya, projek itu juga akan mempercepat usaha penyukatan tanah hak adat bumiputera (NCR) di kawasan berkenaan, sekali gus membuka lebih banyak potensi pembangunan.

Cadangan tersebut turut mendapat sokongan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang hadir sama pada majlis tersebut.

Apabila siap, jalan baharu itu dijangka menjadi pemangkin utama pembangunan ekonomi luar bandar, di samping memperkukuh jaringan pengangkutan antara kawasan pedalaman dengan pusat bandar utama di Sarawak.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE