MIRI, 9 Ogos – Seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes kemalangan maut melibatkan kejadian langgar lari di Jalan Dato Sri Joseph Balan Seling, berdekatan Hospital Pakar KPJ Miri, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, tangkapan dilakukan kira-kira pukul 5.17 petang semalam oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri hasil tindakan pantas pasukan risikan selepas menerima maklumat awam.
“Hasil tangkapan tersebut, polis turut merampas sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000, serta hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun, jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian Khamis lalu, seorang lelaki berusia 33 tahun maut selepas dipercayai dilanggar sebuah kenderaan ketika berjalan kaki di lokasi berkenaan kira-kira pukul 2.00 pagi.
Mangsa difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumah di Krokop bersama seorang rakan sekerja selepas selesai minum di sebuah kedai di kawasan Permyjaya, Miri.
Polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu secara berhemah dan mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Orang ramai turut diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih bagi mengelakkan kekeliruan serta menjejaskan siasatan.