fb fb fb fb fb

MH17: Malaysia tidak akan tuding jari hingga penghakiman selesai

KUANTAN, 17 Julai- Malaysia tetap berpegang kepada prinsip tidak menyalahkan mana-mana negara sehingga proses siasatan dan penghakiman pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak di Wilayah Donetsk, Ukraine dimuktamadkan.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah selagi tidak mempunyai bukti jelas, Malaysia tidak akan sesekali menuding jari kepada mana-mana pihak.

Sebaliknya, Malaysia memberi penghargaan kepada 'Pasukan Siasatan Bersama (JIT) atas kerjasama meneruskan siasatan dan semangat meneruskan prosiding yang sedia ada.

"Walaupun ada pihak yang mendesak Malaysia untuk membuat kenyataan yang sebaliknya tetapi kerajaan tetap istiqamah selagi tidak ada bukti yang jelas, selagi siasatan belum selesai dan proses kehakiman belum selesai kita tetap mengatakan bahawa kita berpandu kepada proses yang dilaksanakan sekarang," katanya di sini hari ini.

(Saifuddin Abdullah)

Tegas Saifuddin, proses kehakiman yang menyeluruh perlu dilaksanakan bagi mendapatkan kebenaran.

Sekali gus menuntut keadilan buat mangsa serta waris yang terlibat.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan rasa simpati dan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa terlibat nahas berkenaan.

Hari ini merupakan ulang tahun ke-8 tragedi pesawat MH17 ditembak jatuh di Ukraine, yang mengorbankan 298 nyawa penumpang dan anak kapal.

Media Baharu