KUALA LUMPUR, 2 Oktober - My Gaya Month 2025 (MGM2025) terus perkukuh daya saing industri tempatan melalui kerjasama strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA).
Menerusinya, nilai jualan sebanyak lebih RM1.116 juta turut dicatat tahun lalu dan meningkat kepada 39.16 peratus berbanding tahun sebelumnya menerusi penganjuran MGM.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program ini merupakan salah satu program di bawah Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 yang memberi fokus kepada segmen bertema fesyen dan gaya hidup.
"Industri fesyen ini juga memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi negara dan dalam konteks kita membangunkan salah satu komponen penting dalam rakyat kita juga iaitu fashionpreneur.
"Golongan pejuang, penggerak kepada industri fesyen ini kerana kita mahu mereka juga mencipta rantaian nilai ekonomi yang jauh lebih besar yang menyumbang kepada pendapatan mereka pertama dan akhirnya menyumbang kepada ekonomi negara itu secara keseluruhan", katanya dalam sidang media selepas melancarkan My Gaya Month (MGM) 2025 di Pavilion, Bukit Jalil di sini, hari ini.
MGM 2025 memasuki siri ke-5 menampilkan lebih 40 jenama tempatan bersama 10 institusi akademi yang menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk reruai jualan, forum dan bicara industri fesyen serta pertandingan kostum animasi.
Turut diadakan adalah aktiviti pertunjukkan fesyen melibatkan 20 jenama pereka tempatan hasil rekaan 10 institusi pengajian tinggi dalam bidang fesyen dan peragaan yang mengetengahkan hasil kreativiti pereka tempatan sekaligus memperkukuh ekosistem industri fesyen tempatan ke tahap yang lebih berdaya saing.
Pada masa sama, beliau memaklumkan kajian Shopperboard turut menganggarkan penembusan industri fesyen dalam urus niaga e-dagang di Malaysia cecah kadar 19.2 peratus dengan nilai jualan USD5.24 bilion.
Manakala Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menganggarkan sekitar USD3.5 bilion setahun dan akan terus berkembang kepada USD4.47 bilion menjelang tahun 2030.