fb fb fb fb fb

PM harap semua aktivis dalam misi GSF dibebaskan dengan selamat

Akivis yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ditahan tentera Israel/ REUTERS

KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap semua aktivis yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dibebaskan dalam keadaan selamat.

Beliau menyatakan perkara itu menerusi hantaran Facebook.

"Kepada Allah SWT kita berserah, disulam usaha menyeluruh yang digerakkan, semoga kesemua mereka dibebaskan dengan selamat. Doa rakyat Malaysia untuk Global Sumud Flotilla.

"Hasbunallahu Wani‘mal Wakil," menurut hantaran itu.

Ketika ini seramai 12 rakyat Malaysia telah ditahan selepas kapal mereka memasuki zon merah R3, iaitu kira-kira 100 batu nautika dari pesisiran pantai Gaza.

Mereka yang ditahan terdiri daripada selebriti, aktivis kemanusiaan dan sukarelawan termasuk Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah (Hio); Norfarahin Romli atau Farah Lee; Danish Nazram Murad (Grande Blu); dan Nur Fazelah Mad Tahil atau Zizi Kirana (Huga).

Turut ditahan ialah Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin, Rusydi Ramli (Sirius), Iylia Balqis, Musa Nuwayri dan Sul Aidil (Alma).

Sementara itu, lima lagi rakyat Malaysia yang menaiki kapal Estrella dan Mikeno dilaporkan terputus hubungan dengan SNCC. Status sama ada kapal-kapal ini turut dipintas atau ditahan Tentera Laut Israel masih belum dapat disahkan setakat ini.

Tiga kapal lain iaitu Fair Lady, Free Willy dan Inana yang turut membawa rakyat Malaysia disahkan masih belayar dan mengekalkan komunikasi dengan pusat gerakan operasi.

Rakyat Malaysia yang berada di atas kapal-kapal tersebut ialah Zainal Rashid Ahmad dan Ustaz Muhammad Abdullah (Fair Lady) manakala Muhammad Hareez Adzrami dan Dr Taufiq Mohd Razif menaiki Free Willy, serta Razali Awang menaiki Inana.

Sebelum itu, Perdana Menteri turut menghubungi pihak berkepentingan, termasuk melalui saluran diplomatik, bagi memastikan sukarelawan serta aktivis dari Malaysia, ASEAN dan antarabangsa yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dibebaskan segera.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI