KUCHING, 1 Januari - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan tahap Waspada melibatkan 10 daerah di Sarawak yang dijangka berlarutan sehingga Sabtu ini (3 Januari).
Ketua Pengarahnya, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata kawasan terlibat ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei (Pakan, Sarikei dan Meradong), Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Bintulu serta Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi).
Beliau berkata, analisis model ramalan cuaca menunjukkan luruan monsun dijangka berterusan sehingga 5 Januari, sekali gus berpotensi membawa hujan lebat berterusan di Sarawak dalam tempoh berkenaan.
“Keadaan ini juga berisiko menyebabkan angin kencang serta laut bergelora di Laut China Selatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, susulan perkembangan itu, MetMalaysia turut mengemas kini Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora yang berkuat kuasa sehingga 2 Januari di perairan Laut China Selatan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada, khususnya penduduk di kawasan berisiko banjir dan tanah runtuh, serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Orang awam juga disaran mendapatkan maklumat cuaca terkini dan sahih melalui laman web rasmi www.met.gov.my, media sosial MetMalaysia dan aplikasi myCuaca.
