fb fb fb fb fb

MetMalaysia keluar amaran hujan berterusan tahap bahaya di Kelantan, Terengganu

FOTO METMALAYSIA

KUALA LUMPUR, 14 Disember- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran jangkaan hujan berterusan tahap bahaya di Kelantan dan Terengganu sehingga esok.

MetMalaysia menerusi kemas kininya hari ini memaklumkan di Kelantan ia melibatkan kawasan Tumpat, Pasir Mas, Kota Baharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Manakala di Terengganu, Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu.

Sementara itu, amaran hujan berterusan tahap buruk dikeluarkan membabitkan Gua Musang, Kelantan serta Marang, Dungun dan Kemaman di Terengganu selain Kuantan, Pahang.

Di Jerantut, Pekan dan Rompin pula, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah hendaklah diaktifkan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang mungkin berlaku terutama di kawasan yang berisiko tinggi.

Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah juga dimohon untuk memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK)mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan.

NADMA melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE