SEREMBAN, 14 Disember - Langkah kerajaan membenarkan kemasukan tanpa visa kepada warga China dan India mulai 1 Disember lalu akan dapat merancakkan lagi sektor pelancongan negara khususnya di Negeri Sembilan.
Menurut Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon langkah tersebut dijangka memberikan rangsangan terhadap industri perhotelan; sekali gus menjana pendapatan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
"Inilah peranan kami Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) supaya kita dapat mempromosikan keistimewaan ini kepada rakyat China, sedia maklum sekarang mereka boleh masuk ke negara melancong ke negara Malaysia tanpa visa selama 15 hari dan kita harus mengambil kesempatan, ini lah peluang keemasan ini untuk menarik kedatangan mereka," katanya.
Nicole Tan berkata demikian pada Majlis Kunjungan Delegasi Persekutuan China Wilayah Shanxi Ke Bangunan White House, di sini.
Tambahnya, kemasukan pelancong dari luar negara bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan negara malah ia turut membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India mulai 1 Disember lalu.
Kemudahan kemasukan ke Malaysia tanpa visa ini juga turut dinikmati lapan negara ASEAN lain yang membenarkan lawatan bertujuan sosial, melancong dan perniagaan hingga 30 hari.