fb fb fb fb fb

Mesyuarat 'task force' dilaksana secara berkala, persediaan hadapi bencana

KUALA LUMPUR, 3 Oktober- Mesyuarat Task Force bagi siap siaga menghadapi bencana akan dibuat secara berkala.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid berkata ia bagi memastikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) berada pada tahap optimum dalam menghadapi kemungkinan Monsun Timur Laut.

Jelas beliau, mesyuarat akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Datuk Mohd Zuki Ali.

Seramai 76,336 pegawai dan agensi tindak balas di semua peringkat termasuk daerah telah berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya.

"Jawatankuasa pengurusan bencana negeri (JPBN) dan jawatankuasa pengurusan bencana daerah (JPBD) juga telah diarahkan untuk bersedia lebih awal bagi memastikan bantuan dan bekalan sampai di semua lokasi yang terlibat bagi mengelakkan keadaan lebih sukar sekiranya jalan terputus dan sebagainya," katanya.


(Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid)

Beliau menjawab soalan ahli parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang dalam sesi Jawab Lisan Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen.

Tambah Mastura, semua aset berjumlah 22,622 aset meliputi darat, air, udara, perubatan dan lain-lain turut disediakan.

Sementara itu, sebanyak RM50,000 diperuntukkan kepada setiap daerah manakala peruntukan berjumlah RM1.08 juta disalurkan kepada lapan agensi tindak balas dengan RM100,000 bagi setiap agensi.

Media Baharu