fb fb fb fb fb

523 pedalaman di Sarawak bakal menikmati jalur lebar 4G

(Tuai Rumah Panjang, Kumbong Anak Nyagang, 65, (kanan) bersama isterinya
melayari panggilan video selepas dapat melayari perkhidmatan internet
dengan kelajuan 4G di rumah panjang Jalan Balingian-Matadeng pada Mac lalu/FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 3 Oktober - Liputan jalur lebar 4G di Sarawak meningkat kepada 82.84 peratus pada suku kedua 2022, berbanding 73.67 peratus sebelum pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, perkhidmatan jalur lebar itu akan memberi manfaat kepada 523 lokasi di pedalaman Sarawak.

"Kerajaan telah mempercepat penyediaan perkhidmatan jalur lebar melalui teknologi satelit daripada JENDELA Fasa 2 ke Fasa 1.

"Penambahbaikan liputan ke seluruh negara termasuklah di kawasan luar bandar dan pedalaman akan diteruskan melalui Pelan JENDELA Fasa 2 (2023-2025)," katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, semua inisiatif ini melibatkan peruntukan Kerajaan melalui Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) dan pelaburan komersial oleh syarikat pemberi perkhidmatan melebihi RM4 bilion di Negeri Sarawak.

(Tuai Rumah Panjang, Kumbong Anak Nyagang, 65, ketika berbual melalui
panggilan video di kediamannya di rumah panjang Jalan Balingian-Matadeng/FOTO BERNAMA)

Tambahnya lagi, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2.12 bilion telah siap dilaksanakan manakala baki RM1.9 bilion lagi dalam peringkat pelaksanaan.

"Selain pembinaan menara-menara telekomunikasi melalui pelaksanaan projek Pelan JENDELA dan satelit, pihak Kerajaan turut melaksanakan penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah Point of Presence (PoP).

"Secara keseluruhannya, Projek PoP Fasa 1 akan melibatkan 630 lokasi dan Fasa 2 pula akan melibatkan 3,693 lokasi berhampiran sekolah di kawasan luar bandar di seluruh negara," katanya bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Riot Jaem.

Katanya, jumlah PoP secara keseluruhan di Sarawak adalah sebanyak 741.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 5 kawasan berhampiran sekolah luar bandar di Parlimen Serian dan 1 kawasan di Parlimen Betong akan terlibat dengan pelaksanaan PoP Fasa 1.

Manakala bagi Fasa 2 pula sebanyak 31 di Parlimen Serian dan 20 di Parlimen Betong.

"Kerajaan komited dalam memastikan liputan jalur lebar menyeluruh di seluruh negara termasuklah di kawasan pedalaman di Negeri Sarawak," katanya.

Media Baharu