fb fb fb fb fb

Mesyuarat pemimpin ASEAN-AIPA, perkukuh peranan Parlimen

Foto hiasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Mei- Mesyuarat bersama antara pemimpin ASEAN dan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) menjadi platform penting dalam memperkukuhkan peranan institusi Parlimen ke arah merealisasikan ASEAN yang lebih terangkum dan mampan.

Penglibatan peringkat tinggi ini mencerminkan komitmen teguh negara-negara anggota untuk memperkukuh sinergi antara cabang eksekutif dan legislatif di seluruh rantau ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat, mesyuarat ini merupakan sesi dialog khas yang menghimpunkan ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN bersama Speaker, Timbalan Speaker serta wakil-wakil Parlimen dari negara anggota AIPA.

“Mesyuarat ini menyediakan suatu platform strategik untuk menyelaraskan keutamaan serantau melalui tadbir urus yang inklusif dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.

"Ia turut menzahirkan bahawa visi ASEAN sebagai komuniti yang berpaksikan rakyat dan berorientasikan rakyat hanya dapat direalisasikan sepenuhnya dengan kerjasama serta pengawasan Parlimen yang kukuh demi memastikan pembangunan serantau berlandaskan prinsip ketelusan dan akauntabiliti", menurut kenyataaan itu.

Sesi berkenaan akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan menyaksikan penyampaian Mesej AIPA oleh Presiden AIPA merangkap Yang di-Pertua Dewan Rakyat Malaysia, Tan Sri Datuk Dr Johari Abdul.

Dengan tema “Parlimen Menerajui Pertumbuhan Terangkum dan ASEAN yang Mampan”, mesyuarat kali ini memberi tumpuan kepada peranan penting institusi Parlimen dalam mendokong agenda lebih luas Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 khususnya dalam aspek keterangkuman dan kemampanan.

ROSLINA BINTI DIN