PUTRAJAYA, 22 Mei 2025 – Kadar kebolehpasaran graduan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) catat peningkatan kepada 78.1 peratus pada tahun 2023, berbanding 72.3 peratus tahun sebelumnya.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata peningkatan itu menunjukkan keberkesanan pelbagai inisiatif kementerian dalam memastikan graduan TVET memenuhi keperluan industri pertanian negara.
“KPKM berharap kadar kebolehpasaran graduan TVET Pertanian akan terus meningkat dan melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu melebihi 80 peratus,” katanya semasa berucap pada Majlis Konvokesyen Pertanian KPKM ke-13 di sini, hari ini.
Sejak 1969, KPKM telah berjaya melahirkan seramai 25,585 orang graduan terlatih dalam bidang pertanian.
“Adalah diharapkan dengan pertambahan tenaga kerja mahir dalam sektor pertanian makanan, daya saing industri di peringkat global dapat dipertingkatkan sekali gus memastikan kelestarian bekalan makanan negara,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran kekurangan minat dalam kalangan belia terhadap sektor pertanian, Datuk Seri Mohamad menjelaskan KPKM sedang giat melaksanakan pelbagai pendekatan inovatif .
Antaranya penerapan teknologi baharu dalam pengajaran dan pembelajaran, serta kerjasama strategik bersama sektor swasta.
Bagi tahun 2024, RM26.3 juta telah diperuntukkan bagi penambahbaikan kemudahan institut latihan TVET pertanian, manakala peruntukan bagi program mekanisasi dan automasi meningkat sebanyak 182 peratus kepada RM1.35 juta berbanding tahun sebelumnya.
Pada majlis konvokesyen tersebut, seramai 448 graduan menerima pelbagai sijil dan diploma, termasuk Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Pertanian, Sijil Kesihatan Veterinar Malaysia dan Sijil Perikanan.