fb fb fb fb fb

Kes rasuah Datuk Seri Ismail Sabri : SPRM akan ambil keterangan Datuk Jovian

Tan Sri Azam Baki ketika sidang media di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini / Foto Bernama

PUTRAJAYA, 22 Mei – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan merakam keterangan Datuk Jovian Mandagie, bekas menantu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam masa terdekat di Indonesia.

Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki, berkata langkah itu adalah sebahagian daripada siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Perdana Menteri kesembilan itu.

“Saya percaya pegawai penyiasat saya dalam proses ataupun mungkin telah dapat berhubung dengan beliau untuk dirakam percakapan kerana untuk mengesahkan aset yang diisytiharkan oleh Ismail Sabri.” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Siasatan dijangka selesai akhir Jun sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Rakaman percakapan Jovian adalah susulan daripada arahan SPRM terhadap Datuk Seri Ismail Sabri agar membuat pengisytiharan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.

Setakat ini, sebanyak 57 individu telah dipanggil dan dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Ismail Sabri sebelum ini telah mengisytiharkan sumber-sumber perolehannya kepada SPRM pada 10 Februari lalu.

3 Mac lalu, Ismail Sabri dilaporkan sebagai suspek dalam siasatan kes tersebut, selepas SPRM menemui wang tunai kira-kira RM170 juta dalam sebuah premis rahsia milik beliau hasil serbuan.

SPRM turut menyita 13 akaun bank yang melibatkan nilai lebih RM2 juta sebagai sebahagian daripada proses siasatan.

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN