PUTRAJAYA, 22 Mei - Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad gagal dalam usaha terakhir untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah 2.8 juta ringgit.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali sebulat suara menolak permohonan pasangan itu bagi mendapatkan kebenaran semakan terhadap keputusan terdahulu.
Mahkamah menyatakan suami isteri itu gagal membuktikan terdapat keadaan luar biasa atau ketidakadilan yang jelas, yang boleh membenarkan semakan terhadap keputusan terdahulu.
Dalam prosiding hari ini, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How, Mohd Fadhly Mohd Zamry dan Maziah Mohaide, manakala peguam Datuk Seri K. Kumaraendran dan M. Athimulan mewakili Bung Moktar dan Zizie Izette.
Berikutan keputusan hari ini, mahkamah menetapkan 18 Ogos depan untuk membela diri di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad.
Pada September 2022, Mahkamah Sesyen memerintahkan pasangan berkenaan membela diri atas tiga pertuduhan rasuah itu.
Pasangan itu berjaya mengetepikan keputusan itu melalui permohonan semakan yang difailkan di Mahkamah Tinggi dan tindakan berkenaan mendorong pihak pendakwaan untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.