KUALA LUMPUR, 6 November- Kerajaan akan bertindak segera demi menambah baik proses dalam pelaksanaan projek pembangunan.
Perkara itu dibincang dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 6 Tahun 2023 dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar dalam kenyataan menegaskan perbelanjaan pembangunan yang mengecil walaupun belanjawan keseluruhan meningkat setiap tahun boleh memberi kesan jangka panjang.
Antara langkah diputuskan termasuk pembentukan pasukan rentas kementerian untuk menyemak dan menyedia kerangka penambahbaikan untuk diluluskan secara bersepadu.
Keputusan dasar akan menjurus ke arah desentralisasi dan pemberdayaan pelaksanaan projek dan kawalan peruntukan oleh agensi pelaksana dengan tadbir urus yang ketat
Keputusan dasar juga dibuat ke arah pemusatan (sentralisasi) pelaksanaan projek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan penentuan spesifikasi atau kos di Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) untuk mengawal kos ICT dan sebagai persediaan ke arah konsep 'Government Technology' (GovTech) Malaysia.
Dalam pada itu, mesyuarat MTEN hari ini turut berbincang usaha menoktahkan miskin tegar.
Antara cadangan dikemukakan termasuk semakan dan kemas kini data untuk pengesahan jumlah penerima isi rumah miskin tegar yang telah dibantu dan menjana pendapatan.
Semua agensi juga perlu mengenal pasti isi rumah yang boleh menyertai program dalam tempoh berbaki tiga bulan dan diserapkan di dalam program yang ditawarkan mengikut kesesuaian.
Bantuan tunai khas secara bulanan juga akan dipertimbang untuk melepasi Paras Garis Kemiskinan (PGK) makanan bagi isi rumah yang tidak mampu bekerja atas faktor umur atau kesihatan.