IPOH, 6 November- Kempen Membeli Barangan Tempatan tidak seharusnya dimulakan apabila timbul isu memboikot barangan luar.
Exco Pembangunan Usahawan Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamad berkata, sebaliknya, tumpuan harus sentiasa diberikan kepada produk-produk yang dihasilkan oleh usahawan tempatan.
Sehubungan itu, golongan usahawan berkenaan wajar mengambil peluang dengan memperbaiki kualiti produk perniagaan mereka untuk dipasarkan.
"Kempen Membeli Barangan Tempatan ini sepatutnya kita mulakan (dari dahulu), bukan hanya tunggu isu.
"Kita kena mula memberi tumpuan kepada produk-produk yang dihasilkan oleh peniaga lokal dan disebabkan itu juga, usahawan kena mengambil peluang ini untuk memperbaiki produk-produk mereka.
"Sekiranya ada masalah, mereka (peniaga) boleh berjumpa dengan agensi-agensi untuk khidmat nasihat dan bimbingan supaya boleh berjaya menjadi usahawan yang hebat," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kempen memboikot barangan luar yang giat dilaksanakan ketika ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan majlis perasmian dua buah kilang di Siputeh, Pusing di sini.