Serangan siber: Mesyuarat khas perkukuh kesiapsiagaan negara petang ini

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ RTM

KUALA LUMPUR, 3 November- Kerajaan akan memperkukuh penyelarasan antara kementerian dan agensi menerusi mesyuarat khas petang ini bagi meneliti perkembangan semasa serta memastikan kesiapsiagaan jentera pentadbiran negara menghadapi pelbagai ancaman keselamatan termasuk dalam aspek siber dan digital.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mesyuarat dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara; Gabenor Bank Negara adakan sidang khas bersama institusi kewangan.
  • Kerajaan mengambil iktibar pendekatan EU: penglibatan menyeluruh jentera kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.
  • Serangan siber di Eropah ganggu sistem penyejukan premis peruncitan, ancam rantaian bekalan makanan dan keyakinan pengguna.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mesyuarat itu akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

“Petang ini, Ketua Setiausaha Negara akan mempengerusikan mesyuarat dengan semua jabatan yang berkenaan dan Gabenor Bank Negara akan mengadakan sidang khas dengan semua institusi kewangan dalam negara,” katanya.

Beliau berkata kerajaan turut mengambil iktibar daripada pendekatan kesiapsiagaan Kesatuan Eropah (EU) yang menekankan penglibatan menyeluruh jentera kerajaan, sektor swasta dan masyarakat dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kenyataan berhubung tahap kesiapsiagaan keselamatan negara dalam menghadapi perkembangan konflik geopolitik serta ketegangan keselamatan serantau dan antarabangsa pada sesi penerangan sebelum Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada Isnin, lebih 100 premis peruncitan di beberapa negara Eropah dilaporkan mengalami gangguan sistem penyejukan susulan serangan siber, menyebabkan sebahagian peruncit terpaksa mengeluarkan produk makanan daripada jualan.

Negara terjejas ialah Belgium, Estonia, Finland, Ireland, Itali, Luxembourg, Belanda, Portugal dan Sweden.

Insiden itu mencetuskan kebimbangan Kesatuan Eropah (EU) terhadap risiko gangguan rantaian bekalan makanan serta kesan terhadap keyakinan pengguna.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.