fb fb fb fb fb

Mesyuarat JKMKKJR selesai masalah kesesakan lalu lintas, keselamatan jalan raya

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR)

KUALA LUMPUR, 6 Mac- Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) telah memutuskan beberapa keputusan penting untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dan keselamatan jalan raya, khususnya di kawasan-kawasan titik panas kesesakan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi JMKJR Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan berkata, perkara itu termasuk meluluskan dan menyalurkan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi pelaksanaan perluasan lorong khas bas termasuk pembelian 100 unit van Demand Response Transit (DRT) di Lembah Klang bermula September 2024.

"Sejak dilaksanakan pada 3 Julai 2023, kajian menunjukkan bahawa pelaksanaan Lorong Khas Bas Prasarana di Jalan Ampang dan Genting Klang telah menunjukkan respon yang amat menggalakkan. Data menunjukkan, berlaku penjimatan masa sehingga 18 minit bagi perjalanan bas di lokasi (point-to-point) dan atas penjimatan tersebut berlaku penambahan jumlah penumpang secara harian sebanyak 20% sehingga 45%.

"Justeru, dengan keberkesanan pengurangan masa perjalanan tersebut, peningkatan kekerapan bas dan jumlah penumpang harian, mesyuarat memutuskan untuk mengekalkan laluan khas bas Jalan Ampang dan Jalan Genting Klang," katanya dalam kenyataan itu.

Mesyuarat turut bersetuju memperluaskan laluan bas khas ke Jalan Klang Lama bermula Jun 2024, serta melaksanakan kajian bagi pelaksanaan lorong bas di Jalan Cheras (Taman Connaught-Jalan Pudu) serta Lebuhraya Persekutuan (Pusat Bandar Kuala Lumpur-Persimpangan Shah Alam).

Mesyuarat juga memutuskan untuk melaksanakan sistem penyuaraian baharu secara berperingkat untuk lokasi-lokasi kritikal kesesakan setelah mendapatkan makluman daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Ketiga, kerajaan telah melaksanakan laluan kontra bagi membantu kesesakan lalu lintas khususnya di waktu puncak dan hasil kajian daripada Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS) menunjukkan 88% pengguna lebuhraya yang ditemui bersetuju bahawa laluan kontra berkesan dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas," katanya.

Selain itu penguatkuasaan dan langkah pengoperasian akan dipertingkatkan bagi mengelak insiden kemalangan dan penambahan pencahayaan ketika waktu hujan dan gelap.

Seterusnya mesyuarat bersetuju untuk PLANMalaysia meneliti cadangan supaya projek-projek pembangunan menggunapakai konsep berasaskan Transit Oriented Development (TOD) sebagai salah satu langkah jangka masa panjang bagi mengurangkan kesesakan jalan raya.

Perkara itu khususnya di kawasan-kawasan pembangunan dan pengoperasian stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Bagi aspek keselamatan jalan raya, sepanjang 2023, Malaysia mencatatkan 6,443 orang kematian berkaitan lalu lintas setahun dengan purata 18 kematian sehari. Daripada jumlah itu 4,480 kematian adalah pengguna motosikal.

Dalam pada itu kerajaan akan terus melaksanakan beberapa inisiatif dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.

Ia termasuk pelaksanaan program menaik taraf infrastruktur keselamatan jalan raya termasuklah pembaikan permukaan jalan dan bahu jalan; menambah baik papan tanda, garisan jalan, lampu jalan dan lampu isyarat.

Mesyuarat itu turut membincangkan cadangan-cadangan lain seperti penyuraian trafik Johor Bahru yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Johor.

"Mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 7.4km dan penambahan 175 kemudahan hentian bas oleh Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) sepanjang tahun 2024 di kawasan Lembah Klang," katanya.

Ahmad Zahid berharap agar inisiatif dan usaha kerajaan dapat dilaksanakan mengikut perancangan bagi memastikan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam negara ditingkatkan selain mampu menarik rakyat untuk beralih kepada penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam bagi memenuhi keperluan mobiliti.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI