fb fb fb fb fb

Tiada radiasi berlebihan di perairan Malaysia

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 November - Tiada radiasi berlebihan direkodkan di perairan Malaysia melalui pemantauan masa nyata Stesen Pemantauan Air Spektrum Gamma (GSWMS) yang dipasang di lima lokasi strategik seluruh negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang memaklumkan GSWMS pertama dipasang di Jeti Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Jun 2023 disusuli pemasangan empat stesen lagi setakat 31 Oktober 2025.

“GSWMS pertama ini memainkan peranan penting untuk memberikan bacaan awal semasa insiden pelepasan sisa radioaktif oleh kerajaan Jepun pada 2023.

“Setakat ini, kita belum mengesan apa-apa tahap melebihi had kawalan dan kerajaan komited memastikan pemantauan berterusan dan tahap kesiapsiagaan tanpa kompromi demi keselamatan rakyat dan alam sekitar," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Pin berhubung status terkini pemantauan masa nyata susulan pelepasan sisa radioaktif oleh kerajaan Jepun pada 2023 di Dewan Rakyat di sini.

Empat GSWMS lain dipasang dan mula beroperasi di Jeti Taman Laut Pulau Perhentian, Jeti Taman Laut Pulau Tioman, Jeti Jabatan Kastam Bukit Malut Langkawi dan Stesen Telemetri Bintulu Port.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM