fb fb fb fb fb

Tiada kesesakan di depot tahanan imigresen- Saifuddin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

ALOR SETAR, 6 Mac- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan bahawa depot tahanan imigresen di negara ini mengalami kesesakan.

Beliau berkata ketika ini terdapat kira-kira 13,000 pendatang tanpa izin di 19 depot tahanan imigresen di seluruh negara.

“Satu-satunya keadaan di mana depot mengalami kesesakan adalah masa COVID-19 tempoh hari, sebab kita tak boleh hantar (mereka) balik. Sekarang ini jumlah depot ada 19, jumlah penghuninya 13,000, di mana sesaknya? Tak ada sesak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyerahan watikah pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Kedah 2024.

Tambah Saifuddin, warga asing yang ditahan di depoh imigresen menjalani pengesahan dokumen dan mereka yang mempunyai dokumen sah dibebaskan.

"Pada masa ini, terdapat banyak serbuan, tetapi setelah dianalisis, kami mendapati kira-kira 80 peratus tahanan didokumenkan dengan baik dan hanya kira-kira 20 peratus adalah tidak sah dan mereka ditahan.

"Jika dokumen mereka sah, kami membebaskan mereka," ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain mengenai permintaan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar kerajaan Persekutuan meluluskan segera peruntukan tambahan bagi pembinaan dan menaik taraf lima loji rawatan air (LRA) di Kedah, Saifuddin Nasution yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah berkata punca kelewatan projek tersebut perlu dikenal pasti terlebih dahulu.

“Sebelum kita sampai kepada menimbangkan cadangan untuk meningkatkan kos, bajet dan sebagainya, kita akan buat keputusan bersandarkan kepada analisis sebab-musabab yang menyebabkan kepada kelewatan seumpamanya.

“Kos bahan binaan boleh jadi satu faktor, boleh jadi ada faktor lain, jadi kalau kita selesaikan yang itu (kos bahan binaan) tapi faktor lain belum selesai, tak jadi juga. Jadi kita kena tengok secara keseluruhan,” katanya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi dilaporkan memohon kerajaan Persekutuan menyegerakan kelulusan permohonan kos tambahan bagi projek menaik taraf dan membina LRA berikutan peningkatan kos yang dihadapi pihak kontraktor susulan kenaikan harga bahan binaan.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI