KEMAMAN, 19 November - 25 buah rumah di Perumahan Awam Kos Rendah, Kampung Pasir Gajah, di sini rosak selepas dilanda ribut pada petang Selasa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, hampir keseluruhan bumbung di deretan rumah teres terbabit diterbangkan angin.
RTM turut berkesempatan menemui beberapa penduduk terkesan yang berkongsi detik-detik cemas kejadian yang disifatkan paling buruk pernah berlaku di kampung mereka.
Penduduk mendakwa ia merupakan kejadian ribut kali kedua pernah berlaku sejak mereka menetap di situ beberapa tahun lalu.
Salah seorang penduduk, Sabrina Nor Azmi memberitahu dia melihat pusaran angin berwarna hitam yang bergerak laju datang dari arah kanan rumahnya.
"Saya menyaksikan pusaran angin berwarna hitam itu menerbangkan bumbung rumah saya dan jiran-jiran. Sekelip mata sahaja, atap-atap (bumbung) berterabur," jelasnya.
Dia memberitahu pusaran ribut itu disusuli hujan lebat dan angin kencang menyebabkan kediamannya dimasuki air selain keseluruhan perabot dan barangan dalam rumah rosak.
Jamal Abdul Nasir Abdul Rahmat turut menyaksikan bumbung rumahnya diterbangkan ribut.
"Saya ketika itu mahu bergerak untuk mengambil isteri pulang daripada kerja. Ketika kejadian anak dan menantu saya berada dalam rumah," kongsinya.
"Saya bersendirian semalam dan dalam ketakutan. Angin begitu kuat dan kelihatan gelap. Tiba-tiba sahaja atap (bumbung) terbuka," ujar Noratikah Azmi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pasir Gajah, Razali Omar berkata pihaknya bersama Pejabat Daerah Kemaman dan Pejabat Kebajikan Daerah telah mengenal pasti.
"Setakat ini, 25 buah rumah dikenal pasti dan dalam proses pembaikian," jelasnya.