fb fb fb fb fb

Mesyuarat Jemaah Menteri bincang insiden amuk warga Palestin di WTKL

Tangkap layar video tular menunjukkan sekumpulan warga Palestin menimbulkan kekecohan di WTKL

SEPANG, 6 Januari- Insiden kekecohan yang dicetuskan rakyat Palestin di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) Sabtu lalu, akan dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu ini.

Jelas jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, mesyuarat juga dijangka membincangkan tindakan lanjut yang akan diambil kerajaan ekoran kejadian berkenaan.

"Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu ini sudah pasti akan mendapat maklumat terkini daripada Menteri Pertahanan. Dalam beberapa mesyuarat Jemaah Menteri yang lalu, ada dibangkitkan isu permindahan ke premis yang baru setakat ini belum dimaklumkan kepada Jemaah Menteri. Tapi saya pasti selepas mesyuarat hari Rabu, akan ada sedikit kemas kini untuk rakan media," katanya.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi, berkata demikian dalam Majlis Peluncuran Kempen Tahun Melawat Malaysia, 2026 di Sepang.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ini mengesahkan, insiden kekecohan membabitkan warga Palestin di WTKL berpunca daripada keinginan mereka untuk mempercepatkan proses kembali ke Palestin.

Dalam satu kenyataan, ATM memaklumkan kejadian pukul 5 petang itu bagaimanapun dapat dikawal dengan baik tanpa membabitkan sebarang pergaduhan atau kecederaan dilaporkan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE