PUTRAJAYA, 6 Januari – Kementerian Pengangkutan akan menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menangani isu kemalangan melibatkan kenderaan berat secara menyeluruh.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan jawatankuasa tersebut akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Shantiran Muniayan.
Katanya, pasukan tersebut akan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan untuk merangka dan melaksanakan tindakan segera demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
“Saya ingin tegaskan bahawa ini bukan lagi peringkat kajian. Jawatankuasa ini diberi mandat penuh untuk melaksanakan langkah-langkah secara terus tanpa perlu kajian tambahan.
"Semua tindakan akan dilaporkan secara langsung bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Kementerian Pengangkutan, di sini.
Dalam pada itu, Loke berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggunakan peranti kamera badan untuk meningkatkan ketelusan dan keberkesanan penguatkuasaan, terutamanya semasa operasi melibatkan kenderaan berat.
Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan dijalankan dengan tahap integriti yang tinggi.
“Inisiatif ini diminta sendiri oleh JPJ kerana mereka melihat keperluan menggunakan kamera badan bagi menjaga imej jabatan dan melindungi anggota mereka. Kadang-kadang, anggota JPJ dituduh pelbagai perkara, tetapi dengan kamera badan ini, bukti boleh dirakam untuk memastikan keadilan dan ketelusan,” katanya.