PUTRAJAYA, 6 Januari- Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung kewujudan Titah Adendum yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman enam tahun penjara bawah tahanan rumah.
Keputusan itu dibuat secara majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim iaitu Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.
Keputusan majoriti tersebut yang dibacakan oleh Mohd Firuz Jaffril menyatakan bahawa mahkamah tidak boleh mengabaikan fakta dan bukti yang dikemukakan oleh perayu dalam kes berkenaan.
Susulan itu, panel hakim memerintahkan kes berkenaan diremitkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menentukan merit semakan kehakiman yang dimohon.
Dalam prosiding hari ini, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah turut membacakan dokumen Titah Adendum yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang menyokong dan membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara bawah tahanan rumah.
Shafee merujuk dokumen tersebut semasa berhujah untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuan Najib bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman untuk mendedahkan Titah Adendum dan melaksanakannya.
Beliau juga memaklumkan bahawa anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar Najib mengetahui kewujudan dokumen itu pada tahun lalu melalui istana atas arahan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dalam prosiding bermula 9.00 pagi tadi menyatakan bahawa tiada sebarang bantahan daripada pihak pendakwaan berhubung kewujudan Titah Adendum yang dikemukakan oleh perayu.
Menurut beliau, mahkamah bersedia untuk mendengar rayuan tersebut, namun tiada tindakan daripada pihak pendakwaan untuk mencabar atau mengenepikan kewujudan Titah Adendum serta bukti tambahan yang dibentangkan.
Mahkamah menetapkan 13 Januari depan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Terdahulu, Najib tiba di Istana Kehakiman Putrajaya sekitar pukul 8.30 pagi.
Dalam rayuan tersebut, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.