fb fb fb fb fb

Mesin pembungkus beras disita KPDN Kedah

Mesin pembungkus beras disita KPDN Kedah

ALOR SETAR, 31 Oktober- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyita sebuah mesin pembungkus beras di sebuah kilang beras di Mergong, semalam.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth menerusi kenyataan berkata, tindakan itu dikenakan selepas mendapati mesin yang digunakan untuk membungkus beras terbabit disyaki tidak ditentusahkan.

"Nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM35,000 dan kesalahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972.

"Sekiranya disabitkan kesalahan bawah akta sama boleh dikenakan denda tidak melebihi RM4,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Pemeriksaan dilakukan oleh Task Force Khas Bersepadu Operasi Beras Putih bermula pukul 8.30 pagi, turut disertai Kawalselia Beras dan Padi (KPB), polis dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Sebuah kilang beras di Simpang Empat turut dikenakan tindakan kerana tidak mempunyai permit menyimpan barang kawalan iaitu minyak diesel.

Affendi berkata, sewaktu pemeriksaan, penguat kuasa KPDN turut menemui sebuah skid tank yang mengandungi diesel dalam anggaran 6,000 liter dan 3,000 liter di dalam tiga unit IBC Tank.

"Nilai rampasan bagi minyak diesel dianggarkan berjumlah RM28,800 manakala nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM29,400.

Siasatan dilakukan mengikut Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana pelanggaran Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Bagaimanapun KPDN Kedah menegaskan kementerian itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang kawalan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI