fb fb fb fb fb

Banjir Perak: 312 penduduk berlindung di tiga PPS

Foto Fail

IPOH, 30 Oktober - Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat kepada 312 orang berbanding 290 orang, petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah iaitu di Kerian dan Hilir Perak.

"Di Hilir Perak, penduduk terjejas meningkat kepada 170 orang daripada 50 keluarga. Kesemua mereka ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak.

"PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak di daerah Kerian pula menempatkan 86 penduduk daripada 21 keluarga melibatkan kawasan Kampung Selekoh, Kampung Matang Tengah, Kampung Changkat Lobak dan Kampung Beriai," kata JPBN menerusi kenyataan.

Kenyataan turut memaklumkan, PPS Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu telah menempatkan seramai 56 penduduk daripada 18 keluarga melibatkan penduduk daripada Kampung Selekoh, Kampung Parit Air Hitam 2, Kampung Parit Ali Kalang dan Kampung Beriah.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN