fb fb fb fb fb

Kutipan sumbangan untuk Gaza, elak terpedaya dengan 'scammer' - Fahmi Fadzil

Foto Hiasan

KOTA KINABALU, 30 Oktober - Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan pihak tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengutip sumbangan khususnya untuk rakyat Palestin.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata rakyat Malaysia memang terkesan dengan situasi di Palestin ketika ini, namun perlu berhati-hati dalam menyalurkan sumbangan agar tidak tertipu.

“Hati-hati dengan scammer (penipu) yang cuba mengambil kesempatan, kadang-kadang mereka letak gambar Masjid Al-Aqsa, kanak-kanak Palestin tetapi scammer. Saya pohon, kita rakyat Malaysia memang murah hati, mudah bantu orang tapi janganlah sampai tertipu. Duit itu tidak sampai kepada rakyat Palestin.

“Gunakan saluran rasmi dan rujuk kepada pihak berkuasa untuk mengesahkan sama ada tabung itu betul atau tidak,” katanya.

Fahmi berkata demikian pada sesi temu bual bersama radio SABAHfm di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Digital Sabah, di sini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata beberapa isu perlu diselaraskan mengenai penggunaan rangkaian 5G di negara ini yang masih pada tahap rendah.

Ini termasuk caj tinggi yang dikenakan oleh beberapa syarikat telekomunikasi dilihat membantutkan usaha menarik lebih ramai rakyat menggunakan rangkaian 5G.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN