fb fb fb fb fb

Jawatan kader penasihat JAWI bakal diwujudkan tahun depan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan mewujudkan jawatan kader penasihat undang-undang di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata,  penubuhan jawatan itu adalah bagi memperkasa dan mempercepatkan proses perundangan bahagian penguatkuasaan undang-undang syariah di negara ini.

Selain itu, ia juga bertujuan memberikan nasihat perundangan yang sesuai pada kadar segera agar tugas pengkuasaan lebih lancar berbanding bertemu dengan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi berbincang mengenai perkara terbabit.

"JAWI nak dapatkan pandangan perundangan, terpaksa mendapatkan pandangan tersebut daripada penasihat undang-undang yang ada di JAKIM iaitu dari agensi lain atau pun dapatkan pandangan daripada pihak Jabatan Peguam Negara. Jadi tempoh nak dapatkan jawapan memakan masa, sedangkan ia perlu untuk dapatkan jawapan dengan segera.

"Maka dalam konteks itulah harapan daripada pihak JAWI supaya diadakan satu penjawatan KADER penasihat undang-undang di JAWI sekiranya ada isu timbul, dia terus boleh berikan nasihat kepada JAWI dan JAWI boleh bertindak ke atas pandangan tersebut," katanya.

Mohd Na’im berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Penguatkuasaan Isu-Isu Semasa Syariah Peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Na’im menyasarkan supaya jawatan tersebut dapat diwujudkan selewat-lewatnya pada tahun depan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI