JITRA, 7 September – Mayat seorang remaja lelaki yang hilang selepas mesin padi yang dinaiki bersama tiga rakannya terjunam ke dalam Sungai Sanglang, di sini petang semalam, ditemukan pagi tadi.
Mangsa, Muhamad Amsyar Muqri Mohd Asri, 18, dijumpai Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada pukul 10 pagi, kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian.
Dalam satu kenyataan, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah memaklumkan, operasi pencarian dimulakan seawal pukul 8.30 pagi dengan melibatkan empat bot penyelamat, anggota polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Pencarian dijalankan dalam radius 10 meter dari lokasi awal mangsa dilaporkan terjatuh, dengan kedalaman air kira-kiraempat meter.
Mayat mangsa ditemukan di dasar sungai sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut selepas pengecaman waris dilakukan.
Dua lagi rakan mangsa sempat menyelamatkan diri, manakala seorang lagi diselamatkan anggota penyelamat.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang semalam, sebuah jentera mesin padi yang dinaiki empat remaja berusia antara 16 hingga 20 tahun dilaporkan gagal dikawal lalu terjunam ke dalam sungai berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang.