fb fb fb fb fb

Anggota polis cedera, cuba leraikan pergaduhan di Hospital Sungai Buloh

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 7 September - Seorang anggota polis cedera dipukul ketika cuba meleraikan pergaduhan antara dua kumpulan di Hospital Sungai Buloh dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.10 pagi yang memaklumkan terdapat pergaduhan di wad kecemasan dan menggerakkan pasukan peronda ke lokasi kejadian.

Anggota yang bertugas di pondok polis hospital itu telah bergerak awal untuk mengawal keadaan sebelum pasukan peronda tiba.

"Sebaik pasukan peronda tiba, didapati anggota berkenaan telah dipukul oleh seorang lelaki berusia lingkungan 40-an.

"Berdasarkan maklumat awal, anggota berkenaan cuba meleraikan pergaduhan antara sekumpulan lelaki dan wanita, bagaimanapun suspek telah bertindak agresif dan menyerang anggota berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan di muka," menurutnya kenyataan itu.

Mohd Hafiz berkata, cubaan polis untuk menahan suspek juga telah dihalang dan diganggu sehingga berlaku sedikit pergelutan namun lelaki itu berjaya ditahan dengan bantuan orang ramai serta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh.

Suspek direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI