KUCHING, 7 September - Malaysia berpotensi untuk muncul sebagai negara pengeluar teknologi dengan memberi penekanan terhadap inovasi bagi mencapai status negara maju serta berdaya saing di peringkat global.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, inovasi dilihat sebagai asas penting disokong pendidikan serta kesedaran dalam melahirkan lebih ramai individu mahir dan pakar dalam bidang tersebut.
"Kita tidak boleh kekal sebagai negara pengguna semata-mata, sebaliknya perlu menjadi negara pengeluar pada masa hadapan.
"Saya yakin Malaysia mempunyai kemampuan dalam bidang sains dan teknologi, cuma kita perlu memperluaskan penglibatan masyarakat untuk mengenal pasti inovasi di peringkat akar umbi yang boleh kita bantu dan kembangkan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jejak Inovasi Yayasan Inovasi Malaysia yang berlangsung di Surau Al-Amin, Kampung Gita Baru, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, melalui program Jejak Inovasi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menggunakan empat pendekatan bagi mengenal pasti dan membangunkan potensi di lapangan.
"Empat pendekatan itu bermula dengan menjejak inovasi, seterusnya mengembangkan, membangunkan dan akhirnya menjadikannya satu produk yang bukan sahaja digunakan secara setempat tetapi mampu digunakan secara meluas serta dikomersialkan," jelasnya.
Komuniti setempat juga diseru untuk menyokong inisiatif MOSTI yang diterajui Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dalam usaha memupuk dan mempamerkan inovasi komuniti.
Melalui kaedah itu, idea yang lahir di peringkat akar umbi dapat dikembangkan supaya sesuai digunakan secara meluas.