fb fb fb fb fb

Keselamatan jadi fokus penambahbaikan silibus PALAPES

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari memaklumkan kementeriannya menjalankan perbincangan berterusan dengan KPT.

SHAH ALAM, 7 September - Aspek keselamatan dalam latihan menjadi antara fokus utama dalam usaha menambah baik silibus Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di seluruh universiti awam.

Timbalan Menteri Pertahanan (MINDEF), Adly Zahari memaklumkan kementeriannya sedang menjalankan perbincangan secara berterusan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhubung perkara itu.

“Kita juga akan melihat beberapa peraturan termasuk faktor paling penting iaitu keselamatan kerana dalam latihan ketenteraan banyak aspek fizikal digunakan. Jadi kita turut menilai faktor kesihatan dan perkara berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Konvensyen AMANAH Negeri Selangor, di sini hari ini.

Tambahnya, jawatankuasa pengurusan PALAPES akan membuat penelitian sewajarnya mengenai keperluan untuk mengubah atau menambah baik latihan sedia ada.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan beberapa silibus dan kurikulum PALAPES akan ditambah baik, sebagai usaha menarik minat golongan muda menyertai program berkenaan di samping membentuk jati diri anggota pertahanan negara.

TUN JULIA MOHD TAHIR