fb fb fb fb fb

Merdeka Batik Fun Walk 2025 meriah, himpun lebih 2,000 peserta

Merdeka Batik Fun Walk 2025 di Kelantan meriah, himpun lebih 2,000 peserta

KOTA BHARU, 31 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 diraikan penuh meriah di sini menerusi Merdeka Batik Fun Walk 2025, anjuran Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) dengan kerjasama Persatuan Batik dan Kraf Bazar Buluh Kubu, yang julung kali diadakan tahun ini.

Presiden POKB, Datuk Nik Izani Nik Ibrahim berkata program santai itu berjaya menghimpunkan lebih 2,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk penyertaan dari luar Kelantan serta negara jiran, Thailand.

Peserta berjalan kaki sejauh dua kilometer bermula dari Dewan Jubli Perak Kota Bharu sambil menampilkan keindahan batik warisan Malaysia, sebagai simbol perpaduan, kreativiti dan identiti budaya bangsa.

“Kutipan daripada penaja dan sumbangan orang ramai akan disalurkan kepada projek kebajikan (CSR) POKB dan Persatuan Batik di Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas program tersebut.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Datuk Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.

Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan, termasuk pertandingan pakaian tercantik, pameran dan jualan batik tempatan, selain pelbagai acara menarik lain yang memeriahkan lagi suasana.

Datuk Nik Izani menegaskan, penganjuran program sebegini bukan sahaja meraikan kemerdekaan dengan cara lebih segar dan bermakna, malah menjadikan batik sebagai lambang penyatuan rakyat yang kaya dengan kepelbagaian budaya.

Menurutnya, Merdeka Batik Fun Walk 2025 turut berperanan sebagai platform mempromosikan warisan batik tempatan, di samping memperkukuh semangat perpaduan masyarakat melalui sambutan kemerdekaan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN