fb fb fb fb fb

HRPZ II raikan 16 bayi Merdeka sempena Hari Kebangsaan

Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) meraikan kelahiran 16 bayi merdeka sempena Program Sambutan Bayi Merdeka 2025

KOTA BHARU, 31 Ogos – Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) meraikan kelahiran 16 bayi merdeka sehingga pukul 10 pagi tadi sempena Program Sambutan Bayi Merdeka 2025.

Daripada jumlah itu, 11 adalah bayi lelaki manakala lima bayi perempuan, dengan kelahiran pertama dicatat pada pukul 12.40 tengah malam – seorang bayi perempuan – yang disambut penuh kegembiraan warga hospital berkenaan.

Program berkenaan disempurnakan oleh Pengarah HRPZ II, Dr Izamin Idris dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Rohani Ibrahim.

Menurut Dr Izamin, kelahiran bayi pada Hari Kebangsaan bukan sahaja detik bersejarah buat keluarga, malah mampu menyuntik semangat patriotisme serta cinta negara dalam kalangan rakyat.

“Program ini turut menjadi simbol penyambung legasi Malaysia MADANI, yang berteraskan kasih sayang, kesejahteraan dan kemajuan negara,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN