fb fb fb fb fb

Menunggang motosikal bawah pengaruh dadah, tujuh lelaki ditahan

HULU TERENGGANU, 9 Mei- Polis Daerah Hulu Terengganu berjaya menahan tujuh lelaki yang menunggang motosikal bawah pengaruh dadah.

Mereka ditahan ketika Sekatan Jalan Raya SJR sempena Op Selamat 18 yang diadakan di daerah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, suspek berusia antara 21 hingga 51 tahun dikesan melakukan kesalahan itu dalam satu pemeriksaan di tiga lokasi SJR berbeza antara 6 petang hingga 8 malam tadi.

Empat daripada mereka ditahan dalam SJR di Kilometer 3 Jalan Ajil-Kuala Berang dan Kilometer 7 Jalan Kuala Berang-Ajil manakala tiga lagi ditahan di SJR di Kilometer 21 Jalan Kuala Berang-Telemong.

Ke semua lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya ADB 1952.

Dalam operasi itu, pihaknya memeriksa 260 kenderaan dan mengeluarkan 178 saman membabitkan pelbagai kesalahan.

Antara kesalahan dikesan termasuk tidak memiliki lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, tidak pamer Lesen Kenderaan Motor LKM dan LKM tamat tempoh serta nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

Pihaknya turut menyita tujuh motosikal dalam operasi berkenaan.

Media Baharu