fb fb fb fb fb

Menteri MITI beri penjelasan berhubung penurunan tarif AS, Isnin depan

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dalam sidang media di Putrajaya/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 1 Ogos – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijadual memberi penjelasan di Dewan Rakyat pada Isnin depan, berhubung keputusan terbaharu Amerika Syarikat (AS) yang menurunkan kadar tarif timbal balik terhadap Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil dalam sidang media di sini.

“Jemaah Menteri telah meminta supaya Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri memberi Kenyataan Menteri di Dewan Rakyat pada Isnin untuk memaklumkan dewan mengenai keputusan dalam isu tarif timbal balik ini,” katanya.

Menurut Datuk Fahmi, pengurangan kadar tarif tersebut menyaksikan Malaysia kini diletakkan pada kedudukan yang lebih setara dengan beberapa negara ASEAN lain, termasuk Indonesia, yang turut menikmati kadar tarif yang sama.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan di Parlimen bahawa beliau telah menerima panggilan telefon daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang antara lain menyentuh soal hubungan dua hala serta isu tarif perdagangan antara kedua-dua negara.

ROSLINA BINTI DIN