KUALA LUMPUR, 1 Ogos - Keputusan Amerika Syarikat (AS) menurunkan tarif eksport Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus disifatkan sebagai satu kejayaan besar kerajaan dalam mempertahankan dasar dan kedaulatan ekonomi negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata kejayaan itu dicapai hasil rundingan intensif dan strategik yang dimulakan sejak Mei lalu.
Rundingan itu akhirnya mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada 25 Julai bagi mempersembahkan tawaran akhir Malaysia kepada Amerika Syarikat.
"Jadi, dalam rundingan tentang pengurangan tarif, kerajaan telah sangat tegas dan metodik dalam memutuskan tawaran akhir Malaysia kepada Amerika Syarikat. Ia melibatkan pelbagai agensi dan pemerintahan lain termasuk pemain industri, di mana ia adalah proses yang mengambil masa, tetapi ia adalah proses yang diperlukan untuk dilakukan untuk memastikan kita mencapai keputusan yang memastikan kebijakan negara tidak tergantung.
"Akhirnya, tawaran Kabinet telah diterima untuk Malaysia untuk mempersembahkan tawaran terakhir kepada Amerika Syarikat. Jadi, kita ingin memastikan yang berkaitan dasar-dasar utama negara kita ini tidak terjejas mengenai kedaulatan negara,” katanya semasa Sidang Media Khas Isu Tarif Balas Amerika Syarikat Terhadap Eksport Malaysia, yang berlangsung di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Tambahnya, penetapan kadar baharu itu turut mengambil kira impak langsung kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta mengukuhkan kredibiliti Malaysia sebagai rakan dagang yang dipercayai.
MITI akan mempergiat sesi libat urus bersama syarikat pengeksport bagi membantu syarikat menyesuaikan diri dengan kadar tarif baharu.
Pada masa sama, Malaysia digesa memanfaatkan sepenuhnya 18 Perjanjian Perdagangan Bebas sedia ada untuk mempelbagaikan pasaran eksport.
Kerajaan turut menolak beberapa permintaan Amerika yang boleh menjejaskan industri tempatan, termasuk pengecualian menyeluruh lesen import, liberalisasi ekuiti sektor strategik serta penghapusan duti eksais bagi produk tertentu.
Pengurangan tarif itu disifatkan sebagai kemenangan bersama Malaysia dan AS, serta bukti kekuatan hubungan dua hala yang telah terjalin sejak lebih enam dekad.
MITI memberi jaminan bahawa semua komitmen dibuat tidak akan menjejaskan kepentingan nasional, termasuk aspek keselamatan, standard halal, dan hak pekerja.