fb fb fb fb fb

Malaysia tegas pertahan standard halal dalam rundingan perdagangan

Foto hiasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Ogos - Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan standard pensijilan halal negara dalam setiap rundingan perdagangan, termasuk dengan Amerika Syarikat (AS).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, persepsi bahawa kerajaan telah berkompromi dalam isu halal adalah tidak benar dan perlu diperbetulkan.

"Apa yang telah dipersetujui bersama Amerika Syarikat adalah langkah untuk mempermudah proses pengimportan daging halal dari negara itu ke Malaysia. Proses pensijilan halal akan dilaksanakan oleh badan pengesahan halal di Amerika Syarikat yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Pematuhan terhadap syariah merupakan prasyarat wajib bagi semua import daging halal ke Malaysia, termasuk dari Amerika Syarikat. Sekiranya piawaian halal JAKIM tidak dipenuhi, produk tersebut tidak dibenarkan dibawa masuk", katanya pada Sidang Media Khas mengenai Tarif Balas Amerika Syarikat terhadap Eksport Malaysia, yang berlangsung di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), hari ini.

Jelasnya, pihak kerajaan akan terus bekerjasama erat dengan agensi berkaitan termasuk JAKIM dan Halal Development Corporation (HDC) bagi memastikan piawaian halal negara dikekalkan dengan ketat serta diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Penegasan itu sekali gus menepis sebarang dakwaan bahawa Malaysia berkompromi dengan pihak luar dalam soal kepentingan syariah negara.

 

ROSLINA BINTI DIN