fb fb fb fb fb

Menjelang lapan hari sebelum Hari Wukuf, lebih 29,000 jemaah tiba di Mekah

MAKKAH, 19 Jun - Seramai 29,212 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Mekah dengan melibatkan 95 penerbangan.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman memaklumkan, pelbagai persiapan semasa operasi Masyair telah dilakukan dengan kesediaan perkhidmatan untuk jemaah ketika ini adalah pada tahap 80 peratus dan akan lengkap sepenuhnya menjelang Hari Wukuf.

Persiapan itu termasuk kerja-kerja penambahbaikan khemah di Arafah.

"Ini termasuk diperingkat maktab akan diadakan taklimat mengenai pergerakan Masyair mengikut kapal terbang (KT) dan dalam talimat itu akan diterangkan termasuk pergerakan, kemudahan di Arafah dan Mina, bagi kemasukan khemah, jemaah haji akan diberi nombor khemah," kata Syed Saleh, di sini.

Setiap jemaah juga akan disediakan tempat di dalam khemah sama ada di Arafah atau Mina.

Dalam pada itu, hingga kini, seramai 64 jemaah haji sedang mendapatkan rawatan di Pusat rawatan dengan 56 di pusat rawatan Tabung Haji di Mekah dan lapan lagi di Hospital Arab Saudi.

Antara sebab kemasukan ke hospital yang telah dikesan ialah jangkitan paru-paru, masalah kulit, sakit sendi tulang dan jantung.

Kerajaan Arab Saudi mengumumkan Hari Wukuf ditetapkan pada Selasa, 27 Jun dan Hari Raya Aidiladha di sini akan disambut keesokannya pada Rabu, 28 Jun.

Hari Wukuf merupakan kemuncak ibadah haji dan pada tahun ini dianggarkan 3 juta jemaah haji dari seluruh dunia akan berhimpun di Arafah bermula terbit fajar 9 Zulhijjah sehingga terbit fajar hari berikutnya.

(Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman)

Sementara itu, Lembaga Tabung Haji (TH) melancarkan Program Kebersihan Maktab, dalam usaha memastikan persekitaran tempat tinggal jemaah haji Malaysia sentiasa bersih dan ceria.

Pertandingan diperingkat maktab itu juga dapat memupuk semangat menjaga kebersihan dalam kalangan jemaah haji.

Syed Saleh berkata, program yang bermula sejak 2018 itu hasil daripada kursus-kursus yang disertai jemaah sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Menurutnya, elemen kebersihan sangat diutamakan dalam membantu para jemaah mendapat kemabruran ibadah haji, selain menunjukkan peradaban baik daripada kalangan jemaah Malaysia.

"Bagi kursus haji kita yang bukan menekankan hukum hakam sahaja, tetapi juga peradaban, disiplin, penjagaan kebersihanan diri dan persekitaran, penjagaan kesihatan. Terbukti jemaah dapat menterjemahkan apa yang ditekankan dalam kursus haji dalam perjalanan haji mereka," katanya.

Semua sembilan maktab terlibat dalam program Kebersihan Maktab itu dengan pemenang akan diumumkan selepas selesai operasi Masyair nanti.

TH mula memperkenalkan program Kebersihan Masyair pada 2017 sebelum diperluas ke peringkat maktab pada 2018.

Media Baharu