(FOTO HIASAN)
BESERI, 19 Jun- Produk Agro Pelancongan kini dilihat sebagai sumber ekonomi yang boleh menjana pendapatan lumayan khususnya dikalangan pengusaha hasil tanaman terutamanya buah-buahan bermusim.
Ini termasuklah pengusaha dusun durian di Perlis di mana musim raja buah berkenaan kini telah tiba yang menjadi rebutan buat penggemar pelbagai varieti durian dari seluruh negara.
Bagi pemilik dusun durian, Shamsudin Yahaya, durian yang diusahakan di Perlis kurang dikenali sepertimana durian Raub, durian Batu Kurau, durian Balik Pulau atau pun durian dari Johor.
Namun, durian yang dihasilkan di Perlis mempunyai keunikan dan keenakkan tersendiri berikutan varietinya seperti IOI, Musang King, durian kampung, durian kahwin, duri hitam dan bantal emas.
Bagi mempopularkan durian Perlis ini, aktiviti santai makan durian dalam dusun bersama keluarga dijadikan sebagai produk terbaharu Agro Pelancongan di Perlis yang menjanjikan suasana kampung.
"Orang ramai datang beli, rasa sedap jadi mereka datang lagi. Jadi kebanyakkannya kita tidak pernah lagi ada lambakan buah, semuanya buah jatuh segar, orang beli sama ada daripada dalam talian atau pun daripada peraih. Datang sendiri ke sini juga tidak jadi masalah,"kata Sahmsudin.
Beliau ditemui ketika tinjauan RTM di dusun miliknya di Beseri yang kini telah dibuka untuk orang ramai menikmati durian segar di kawasan seluas hampir dua hektar dengan lebih 25 jenis varieti durian ditanam.
Dusun yang dibuka setiap hari ini menawarkan harga durian antara RM12 hingga RM50 sekilogram mengikut varieti untuk dinikmati pengunjung dan tempahan perlu dibuat lebih awal.
(Pemilik dusun durian, Shamsudin Yahaya)