KUALA LUMPUR, 31 Julai - Kerajaan ingin beranjak daripada konsep penyelesaian berasaskan kaum kepada penyelesaian berasas keperluan sebenar.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi mencapai keadilan sosial dan kesaksamaan peluang.
Dalam pembentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini, beliau mengumumkan pelbagai inisiatif merangkumi aspek ekonomi, pendidikan dan infrastruktur untuk semua kaum supaya segenap lapisan rakyat dapat merasai hasil mahsul kemajuan negara.
Bagi Bumiputera, beliau berkata, Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) akan memberi tumpuan kepada strategi 3P, iaitu penyertaan yang meluas, pemilikan yang bermakna dan penguasaan dalam sektor strategik.
"Dalam hal ini, selain institusi seperti MARA, TERAJU, UiTM danPNB, penyertaan GLC dan syarikat swasta juga akan digembleng agar lebih ramai pemilik perniagaan dalam kalangan profesional bumiputera dilahirkan," katanya.
Sementara itu, bagi usaha menambah baik perlindungan hak dan darjat komuniti Orang Asli pula, beliau memaklumkan Akta Orang Asli 1954 Akta 134] akan disemak semula terutamanya berkaitan perihal pemilikan tanah, pendidikan dan infrastruktur bagi meningkatkan sosioekonomi komuniti itu.
Menurutnya, semakan dasar juga akan dibuat bagi membolehkan Orang Asli mendapat manfaat yang setara dan saksama dengan semua.
"Akses pendidikan kepada Orang Asli turut menjadi keutamaan Kerajaan. Selain pemberian terus bantuan persekolahan kepada ibu bapa murid Orang Asli, sekolah berasaskan komuniti atau community-based school juga akan diperluas," katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, pembangunan sosioekonomi Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak juga akan diperkukuh, antaranya dengan memperluas peluang perniagaan melalui penyediaan premis komersial dan akses kepada bantuan pembiayaan serta program latihan dan bimbingan keusahawanan.
Masyarakat Cina turut diberi perhatian menerusi pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru yang akan menyediakan dana pembiayaan untuk kegiatan keusahawanan, termasuk menyedia dan menambah baik tapak penjaja.
Manakala, bagi masyarakat India pula, Anwar berkata tumpuan diberikan kepada inisiatif meningkatkan peluang kerjaya melalui pendidikan dan pembangunan bakat termasuk Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Inisiatif dan program merangkumi pendidikan dan pembangunan bakat, termasuk STEM dan TVET akan dilaksanakan bagi meningkatkan peluang kerjaya masyarakat India.
"Inisiatif baik pulih rumah serta pemantapan tatakelola pengurusan masyarakat India akan turut dilaksanakan," katanya.